HALAMAN UTAMA

Sunday, June 23, 2013

AJARAN SESAT MENCEMARKAN KESUCIAN AQIDAH SESEORANG

Pergerakkan ajaran sesat tidak sunyi daripada jalan dakwah Islamiah di Malaysia. Kewujudan ajaran sesat
ini merentasi masa, tempat dan keadaan. Sama ada pada awal peradaban Islam mahupun pada alaf millenium. Kebanyakkan pergerakkan ajaran sesat ini telah didedahkan oleh media secara terbuka melalui media elektronik dan media cetak.

Biarpun pihak kerajaan telah berusaha menyemarakkan usaha dakwah Islam menerusi pelbagai aktiviti di pelbagai tempat, namun masih terdapat kelompok yang cuba memesongkan akidah umat Islam di Malaysia khususnya. Pihak kerajaan berusaha keras untuk menangani masalah ajaran sesat ini kerana implikasinya, bukan sahaja terkesan kepada individu semata-mata, malah turut memberi kesan kepada anggota masyarakat serta negara.
Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau sebahagian daripada ajaran Islam sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan al Quran dan al Sunnah.
CIRI-CIRI AJARAN SESAT                                           
Antara ciri-ciri ajaran sesat adalah seperti, mencemarkan kesucian Al-Ouran dan hadis seperti memansuh, mengubah, mempertikai, atau membuat tafsiran menyeleweng terhadap Al-Quran dan hadis. Contohnya kumpulan Bahai beriktikad bahawa kitab sucinya Al-Bayan memansuhkan semua Kitab Samawi. Selain itu, mengubah prinsip-prinsip asas dalam aqidah Islam seperti mendakwa menyatukan semua agama termasuk Islam ke dalam agama baru atau mendakwa semua agama adalah sama sebagaimana ajaran Bahai. Seterusnya, mendewa-dewakan pemimpin sehingga menganggapnya bersifat maksum, sebagai Imam Mahdi, sebagai nabi, sebagai tuhan, atau jelmaan tuhan sebagaimana ajaran Qadiani. Dalam ibadah, mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti mengurangkan ibadat puasa kepada 19 hari dan bersolat hanya dengan niat sebagaimana ajaran Bahai merupakan ciri ajaran sesat. Selain itu, mengubah konsep dosa dan pahala seperti memberi kuasa penebusan dosa kepada seseorang seperti ajaran Tariqat Al-Mufarridiah dan banyak lagi.
FAKTOR KELAHIRAN AJARAN SESAT
Terdapat beberapa faktor fenomena kemunculan ajaran sesat di negara kita. Antaranya ialah, jahil dalam ilmu agama. Zaman ini adalah satu zaman yang memanifestasikan kejahilan manusia. Ilmu dicabut dengan kematian para ulama yang benar lagi warak. Budaya hedonistik semakin menjadi-jadi. Akibatnya, tanggungjawab memahami agama dilupakan. Ilmu asas fardhu ain seperti aqidah, syariah dan akhlak dipinggirkan. Manakala ilmu keduniaan dan materialistik diutamakan. Kejahilan terhadap sumber utama ajaran Islam jua telah mendorong seseorang itu mempelajari Islam dari sumber yang tidak wajar.
Aqidah yang rapuh juga menjadi punca lahirnya ajaran sesat. Ilmu aqidah kurang mendapat perhatian serta penguasaan ilmu aqidah mereka amat sedikit. Jika kita membuat pemerhatian, hanya beberapa orang sahaja yang benar-benar memahami aqidah Islam. Faktor ini menyebabkan pegangan aqidah menjadi longgar dan rapuh. Akhirnya menjerumuskan seseorang ke dalam ajaran sesat atau menyeleweng.
Tidak dinafikan bahawa pengaruh orang terdekat seperti saudara-mara dan rakan-rakan juga turut menjadi faktor keterlibatan seseorang dengan ajaran sesat. Imam Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “Agama seseorang itu berada di bawah pengaruh temannya. Maka hendaklah dilihat siapa yang menjadi temannya.”Seperti yang diketahui, jika kita bersahabat dengan orang yang kotor, kekotoran seseorang itu turut terpalit kepada kita. Dan jika kita bersahabat dengan penjual minyak wangi, maka kewangian itu juga turut mewangikan kita.
Musuh-musuh Islam sentiasa berusaha untuk mencari jalan memusnahkan Islam. Sama ada secara zahir mahupun tersembunyi. Mereka melancarkan beberapa propaganda, mencipta idea, aliran pemikiran dan mencetus budaya semasa untuk mengikis jatidiri umat Islam. Hal ini perlu dititikberatkan supaya identiti dan jati diri umat Islam dapat dipelihara sebagaimana yang diwarisi dari Baginda s.a.w. oleh itu.
KESAN MENGAMALKAN AJARAN SESAT
Ajaran sesat akan meninggalkan kesan yang tidak baik terhadap individu, masyarakat dan Negara. Cetusan ajaran sesat membawa kepada pencemaran serta kerosakkan aqidah seseorang. Jika aqidah yang suci menjadi rosak,tercemar serta bercampur baur dengan najis ajaran sesat ia secara automatik menghakis ketulenan agama yang diperagakan al-Quran dan al-Sunnah. Adakalanya kerosakan aqidah itu menjadikannya kufur dan murtad, sesat atau menyeleweng dari landasan Islam yang sebenar. Minda penganut ajaran sesat akan tertutup dan pemikiran mereka sering dikongkong oleh pemimpin ajaran tersebut. Penglibatan dengan ajaran sesat membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu, atau bapa. Oleh itu, dia wajib bertaubat dan kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. 
Kesan terhadap masyarakat pula adalah seperti keruntuhan institusi kekeluargaan dan keretakan boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka. Apabila seseorang yang terlibat dengan ajaran sesat tidak mengendahkan tuntutan agama, dia juga pastinya tidak mengambil berat tanggungjawabnya dalam menguruskan hal ehwal diri dan keluarganya.  Ajaran sesat boleh menggugat perpaduan dan menimbulkan sikap fanatik penganut ajaran sesat terhadap pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling.Ini menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat .
Negara akan menjadi mundur kerana penglibatan dalam ajaran sesat menjadikan diri seseorang tidak proaktif. Perkara itu akan menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan dan produktiviti individu. Ajaran sesat menyebabkan negara menjadi tidak stabil dan penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat. Ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara. Di samping itu, fokus terhadap ajaran sesat menyebabkan tumpuan terhadap agenda pembangunan ummah dan pemerkasaannya beralih arah dan terbantut.
LANGKAH-LANGKAH MENANGANI AJARAN SESAT
            Antara langkah-langkah yang dapat dilakukan adalah seperti, melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar. Pengaruh ajaran sesat dapat dielakkan dengan kefahaman Islam yang sebenar melalui proses pembelajaran ajaran Islam secara formal atau tidak formal. Selain itu ialah menyebarkan ajaran Islam. Ajaran Islam hendaklah sentiasa didedahkan kepada masyarakat menerusi pelbagai kaedah seperti media cetak, elektronik, ceramah, seminar, forum, dan bual bicara.
Kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang dapat membanteras ajaran sesat. Penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu oleh semua pihak akan dapat membendung kegiatan ajaran sesat daripada terus menular dalam masyarakat. Orang yang terlibat dengan ajaran sesat amat memerlukan kepada program pemulihan akidah, Di Malaysia terdapat beberapa buah pusat pemulihan aqidah seperti Pusat Pemulihan Akidah Jelebu, Negeri Sembilan dan Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam, Selangor.
Kesimpulannya, penyebaran ajaran sesat di negara ini boleh menyebabkan penyelewengan aqidah seseorang serta boleh menjerumuskan individu tersebut kepada murtad. Disamping itu, ianya juga adalah sebahagian dari unsur-unsur yang membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam sendiri. Rasulullah telah menggambarkan bahawa di suatu masa nanti, umat baginda akan berpecah kepada tujuh puluh tiga puak. Sabda Rasulullah saw. Ertinya: “ Akan berpecah umatku kepada tujuh puluh tiga puak, kesemuanya didalam neraka kecuali satu sahaja, iaitu puak yang mengikut sunnahku dan sunnah sahabat-sahabatku”.


No comments:

Post a Comment