HALAMAN UTAMA

Tuesday, May 14, 2013

BULAN REJAB BULAN MULIA

Tajuk kali ini adalah sempena bulan rejab yg telah pn muncul. Di samping itu, tajuk ini juga adalah tajuk rencana yg telah miza tulis untuk di publishkan dekat mana2 surat khabar. Masih belum ada rezeki untuk di publishkan, jadi miza publishkan dekat blog je la ye...



Bulan Rejab telah pun tiba. Ketibaan bulan Rejab ini haruslah dimanfaatkan dengan sebaiknya kerana seperti sedia maklum, Allah memberi ganjaran pahala berlipat kali ganda pada bulan ini. 

Rejab adalah kunci kebaikan dan ibadah. Abu Bakar Al-Warraq al-Balkhi berkata: "Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya." Rejab tergolong salah satu dari al-Asyharul Hurum, bulan-bulan penuh kehormatan dan kemuliaan, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati (arba’atun hurum). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)…” (at-Taubah, 36)

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah (ra), Rasululah (saw) telah bersabda yang maksudnya “(Ketahuilah) Sesungguhnya, zaman beredar sebagaimana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan haram, iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab diapit oleh Jamadilakhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari & Muslim)

KELEBIHAN BULAN REJAB

Antara kemuliaan yang terdapat dalam bulan Rejab ialah Allah S.W.T memakbulkan doa-doa hamba-Nya, terutama pada malam pertama bulan ini. Rasulullah S.A.W bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud" Lima malam, tidak akan ditolak doa-doa di dalamnya : awal malam bulan Rejab, malam nisfu Syaaban, malam Jumaat, Malam Aidilfitri dan malam Aiduladha". (HR. Ibnu 'Asakir). 

Rejab adalah bulan Allah S.W.T yang dituangkan dalamnya rahmat kepada hamba-hamba-Nya. Rasulullah S.A.W bersabda: "Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku" (Hadis Mursal dari Al Hasan Al Bashri)

AMALAN BULAN REJAB

Amalan pertama yang boleh kita laksanakan adalah membaca selawat kepada Rasulullah S.A.W. Umat Islam sangat digalakkan untuk membanyakkan membaca selawat ke atas baginda Rasulullah S.A.W pada bila-bila masa. Membaca selawat sangat besar pahalanya.  Tambahan pula, pahalanya dilipat gandakan di dalam bulan Rejab. 

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Barangsiapa yang membaca selawat untuk -Ku satu kali, Allah berselawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa berselawat sepuluh kali kepada-Ku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak seratus kali. Dan barang siapa yang berselawat kepada-Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka. Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid”.

[Riwayat At-tabrani].


Selain itu, kita juga di galakkan berpuasa pada bulan yang mulia ini. Umat Islam digalakkan untuk banyak berpuasa pada bulan Rejab. Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi.Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat sebuah sungai yang disebutkan sungai Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari pada bulan Rejab, Allah akan memberinya minum dari sungai itu”.

Imam Al-Nawawi menjelaskan: "Maksud Said bin Jubeir adalah tidak ada larangan dan galakan khas untuk melakukan puasa di bulan Rejab. Akan tetapi hukum bulan ini seperti bulan-bulan lainnya. Asal hukum puasa adalah sunat." 

Selain amal ibadah ini, lakukanlah amalan-amalan lain yang termampu. Perbanyakkanlah solat-solat sunat, berzikir dan membaca al-quran. Sekiranya tidak mampu, amalan yang paling  minimum yang boleh di lakukan adalah tidak menodai bulan mulia ini dengan perkara yang tidak elok seperti mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan lain-lain. Jauhkan diri anda dari melakukan maksiat.

Semoga bulan Rejab yang mulia ini mampu membuka dan menyucikan hati kita untuk menghadapi serta menikmati Bulan Ramadhan yang mulia. Bulan Rejab ini seharusnya menjadi pra-sekolah untuk kita memasuki universiti tarbiah pada bulan Ramadhan.

                                                                                                                     




No comments:

Post a Comment