HALAMAN UTAMA

Monday, April 8, 2013

MENANGIS IBADAH TANPA KOS



Menangis dilihat sebagai satu perkara yang tidak di sukai kerana masih ramai yang menganggap menangis boleh menjatuhkan air muka seseorang terutama sekali golongan adam. Penyataan ini jika ditinjau dari sudut kaca mata Islam, perkara ini sangat perlu diperbaiki, kerana Islam mengajar umatnya melihat perbuatan menangis dari perspektif yang positif. Allah SWT lebih menyukai orang-orang yang banyak menangis daripada orang-orang yang banyak ketawa, seperti dalam firman-Nya: “Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak.” (Surah at-Taubah, ayat 82).

Antara sabda Rasulullah SAW yang menjelaskan makna tangisan dari perspektif  Islam ialah : “Dua mata yang tidak akan terkena api neraka iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga dijalan Allah”. Dalam sabda baginda yang lain, “ Tiga mata yang tidak akan terbakar api neraka untuk selamanya: mata yang menangis kerana takut kepada Allah, mata yang berjaga di malam hari kerana membaca kitab Allah, dan mata berjaga-jaga membela agama Allah.”

Menangis adalah akhlak para nabi dan kebiasaan para solihin. Tidak dinafikan, para Nabi, Rasul dan para sahabat, mereka sering menjadikan tangisan sebagai perhiasan dalam solat, doa dan zikir pada zaman mereka. Namun sudah tentu ianya bukan sekadar tangisan kosong, melainkan tangisan yang membuktikan penghambaan diri kepada  yang  Maha  Esa serta takut kepada Rabb-Nya.

Rasulullah SAW telah bersabda, “Ya Allah, anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata.” Di samping itu, telah diriwayatkan dalam hadis, ”Barangsiapa yang menangis kerana takutkan Allah sehingga berlinangan air matanya dan air matanya membasahi tanah maka dia tidak akan diazab pada hari kiamat.”

Menangis juga termasuk dalam ibadah apabila ia dilandaskan kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi iaitu menangis semata-mata kerana takut kepada Allah. Menangis yang mempunyai nilai ibadah adalah menangis yang melibatkan semua unsur manusia iaitu akal fikiran yang diisi dengan ilmu; hati yang diisi dengan keimanan; dan seluruh anggota badan termasuk kepala dengan sujudnya; lisan dengan membaca istighfar, tasbih, tahmid dan ungkapan zikir lainnya dan yang paling penting mata yang menangis membanjiri wajah hingga membasahi tempat sujud akan menjadi saksi di akhirat nanti .

Di dalam sebuah hadis yang disampaikan oleh Sa’ad bin Abi Waqqaas disebutkan bahwa beliau mendengar Rasulullah bersabda : “Menangislah ! Apabila kamu tidak mampu menangis maka berpura-puralah  untuk menangis.” (Hadis Riwayat  Ibnu majah)


Kesimpulannya, menangis bukanlah perkara yang negatif  atau sesuatu yang memalukan sebaliknya menangis merupakan satu ibadah. Sesungguhnya agama Islam itu agama yang sempurna sehingga kan menangis itupun merupakan satu ibadah. Maka letakkanlah hidup matimu hanya kerana Allah SWT. Sesungguhnya di sebalik sebuah tangisan itu tersembunyi 1001 hikmah.



No comments:

Post a Comment